Khamis, Jun 12, 2008

Tiada Perubahan Pada Tahap Pendidikan


Semenjak jawatan Menteri Pendidikan dipegang oleh menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein tiada apa-apa perubahan pun yang dapat dirasakan oleh rakyat berkaitan tahap pendidikan anak-anak di sekolah.

Banyak kenyataan telah dikeluarkan, berdegar-degar bunyi tapi hasilnya pi mai... pi mai... tang tu jugak. Baru ini pada 10/06/08 Utusan Online melaporkan bahawa Kementerian Pendidikan mempunyai mekanisme untuk kurangkan beban ibu bapa berikutan dengan kenaikan harga minyak yang memberi kesan kepada pengusaha bas sekolah dengan menaikkan kadar tambang.

Susah sikit rakyat nak percaya dengan cakap menteri ini. Selalunya hanya cakap sahaja. Hasilnya jauh dari nampak. Soal nak tukar bahasa pengantar untuk pelajaran Matematik dan Sains dari bahasa Inggeris ke bahasa Melayu pun masih banyak dalihnya. Susah sangatkah nak tukar dasar? Kalau dulu dengan serta merta boleh ubah dari bahasa Melayu kepada bahasa Inggeris tanpa perlu ada projek printis terlebih dahulu kenapa bila nak kembali semula ke bahasa Melayu, masih terhegeh-hegeh dan banyak soalnya?

Peliklah. Asal perkara untuk rakyat selalunya banyak sangat alasannya tapi kalau untuk golongan yang berkepentingan laju aje macam lipas kundung buat keputusan. Kekadang bingung juga bila difikirkan.

Rakyat tunggu aje mekanisma apa yang kerajaan nak buat. Cuma ada satu cadangan iaitu kerajaaan tubuhkan satu badan yang mengawal kesemua pengusaha bas sekolah di mana kerajaan yang akan membuat bayaran kepada mereka hasil dari pengurangan subsidi minyak. Rakyat tak perlu membayar satu sen pun kepada pengusaha bas sekolah kerana semuanya ditanggung oleh kerajaan. Langkah ini sedikit sebanyak akan mengurangkan bebanan ibu bapa kerana tidak perlu lagi memikirkan tambang bas sekolah anak-anak.

Apakah kerajaan mampu untuk melakukannya? Sama-sama kita lihat dan mungkin berbagai alasan yang akan diutarakan. Rakyat? Berserah kepada Allah.

Harga Minyak Tak Boleh Turun


Berdetik dihati saya untuk membahaskan hal di atas. Sebelum itu mari kita membaca petikan dari Utusan Online pada 12 Jun 2008 berkaitan dengan kenyataan dari Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Abdul Samad.

"Menurut Shahrir, wang hasil Petronas yang digunakan oleh kerajaan bukan hanya setakat memberi subsidi kepada rakyat tetapi ia turut dibelanjakan dalam sektor lain seperti pendidikan dan kebajikan.

Menurutnya, adalah tidak adil bagi kerajaan membelanjakan wang tersebut untuk subsidi semata-mata kerana masih terdapat golongan yang memerlukannya selain pengguna kenderaan.

Sementara itu, Shahrir menyelar kenyataan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mendakwa boleh menurunkan harga minyak.

Katanya, semasa menjadi Menteri Kewangan dulu Anwar sanggup menerima dasar Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) termasuk menghapuskan subsidi minyak.

''Bagaimana dia hendak menurunkan harga minyak sedangkan ketika menjadi Menteri Kewangan, dia sanggup menerima dasar IMF yang jika diterima harga minyak akan mengikut harga pasaran,'' katanya."


Rakyat ingin tahu berapa banyakkah wang Petronas yang telah dibelanjakan dalam sektor lain seperti pendidikan dan kebajikan? Adakah jumlahnya sebesar atau lebih besar dari penajaan perlumbaan Formula One?

Adakah masih terdapat golongan yang memerlukannya itu terdiri daripada kroni-kroni atau mereka yang rapat dengan pemerintah yang sentiasa mengambil kesempatan lebih-lebih lagi setelah membuat pelaboran dengan menaja kempen BN ketika PRU12?

Kenapa mesti menyelar atau melatah sebelum melihat sendiri samada Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI) mampu melakukannya atau tidak. Saya yakin DSAI mampu melakukannya Insya-Allah... kerana beliau pernah menerima ujian yang perit dari Allah sebelum ini. Biasanya apabila manusia yang pernah diberi ujian oleh Allah dan kemudiannya merasa insaf atas kesilapan yang telah dilakukannya dulu maka sudah pasti ia akan sedaya upaya untuk mengelakkan diri dari mengulanginya semula.

Pada pemerhatian kita negara-negara yang menerima pakai dasar IMF, ekonominya bergerak cergas sekarang ini. Rakyat keliru apakah dasar IMF terlalu buruk untuk diterima pakai oleh Malaysia? Adakah kenyataan "sanggup menerima dasar IMF yang jika diterima harga minyak akan mengikut harga pasaran" satu fakta yang kukuh?

Apa pun alasan kerajaaan tentang kenaikan harga minyak cuma satu sahaja yang rakyat ingin tahu iaitu ADAKAH HARGA MINYAK TIDAK BOLEH DITURUNKAN SAMA SEKALI???

Cadangan Awal Tuan Guru Nik Aziz


Nik Aziz cetus cadangan gaji dua kali sebulan empat tahun lalu

Lanjusoh
Thu Jun 12, 08 8:55:14 pm MYT

KOTA BHARU, 12 Jun (Hrkh) ? Cadangan kerajaan persekutuan bagi membayar gaji dua kali sebulan sebenarnya sudah lama dicetuskan Menteri Besar Kelantan.

Malah kerajaan negeri sudah membuat kajian mengenai cadangan tersebut dan ia didapati agak kurang sesuai kerana memerlukan kakitangan lebih ramai dan menyukarkan dari aspek pentadbiran.

Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, cadangan mengenai perkara itu empat tahun lepas dicetus kerana memikirkan cara meringankan bebanan kakitangan kerajaan.

"Bagaimanapun selepas dikemukakan kepada pegawai, mereka menjelaskan pelaksanaan agak sukar kerana ia memerlukan lebih ramai lagi kakitangan untuk melaksanakan tugas tersebut."

"Selain itu banyak lagi kesulitan lain yang bakal dihadapi. Jadi ekoran timbul masalah tersebut menyebabkan cadangan saya itu belum lagi dapat dilaksanakan di Kelantan" katanya pada persidangan media di kediamannya di Pulau Melaka, hari ini.

Semalam Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan gaji pegawai dan kakitangan awam akan dibayar dua kali sebulan mulai Ogos depan.

Menurutnya langkah itu dibuat bagi membantu kakitangan awam mengurus perbelanjaan dan aliran tunai isi rumah ekoran kenaikan harga bahan api.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz berkata, sekiranya ada pihak lain yang mampu melaksanakan gaji dua kali sebulan beliau turut menyokongnya.

Ditanya konsep Islam Hadhari yang ditolak kerajaan Selangor dan negeri-negeri Pakatan Rakyat katanya, Kelantan tidaklah sampai mahu mengharamnya.

"Biar pun saya tahu Islam Hadhari adalah karut namun saya lebih suka menjawabnya kembali dengan fakta-fakta dan nas-nas al Quran."

"Kalaulah betul konsep Islam Hadhari, di mana pula Iman Hadhari kerana Islam dan Iman tidak boleh diasingkan. Ia akan disoal di akhirat kelak" ujarnya.

Beliau juga bimbang suasana dalam negara tidak akan menjadi aman lagi kerana kehidupan rakyat semakin terdesak sekarang ekoran kenaikan harga minyak baru-baru ini.

Menurutnya, tidak boleh ditolak kemungkinan akan berleluasa gejala mencuri, merompak dan pelbagai lagi perlakuan jenayah kerana kehidupan rakyat semakin tertekan.

Oleh itu katanya adalah menjadi hak rakyat untuk berdemontrasi bagi membantah kenaikan harga minyak bagi menyatakan masalah mereka.

Beliau yang juga Mursyidul Am PAS menjelaskan elaun wakil rakyat PAS di Kelantan dipotong sejak lebih 18 tahun lalu kerana memikirkan kebajikan rakyat perlu diutamakan.

"Saya sendiri kalau hadir pada mesyuarat lembaga anak-anak syarikat milik kerajaan negeri meminta pegawai memotong 50 peratus elaun yang diperuntukkan kepada saya" ujarnya.

Kelmarin Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob memberitahu setiap wakil rakyat PAS di Kelantan dipotong elaun bulanan sebanyak 25 peratus untuk Tabung Serambi Mekah dan kebajikan parti serta rakyat. - mj _

Petikan dari HarakahDaily.net

Selasa, Jun 10, 2008

Mana Suara Orang UMNO?


Sejak kenaikan harga petrol, pemimpin dari Pakatan Rakyat begitu lantang untuk menyuarakan protes. Pelbagai hujah dikeluarkan demi untuk menunjukkan bahawa keputusan untuk menaikkan harga petrol sememangnya tidak patut dan zalim. Itu adalah tugas utama mereka untuk memantau setiap gerak geri kerajaan agar nasib rakyat akan sentiasa terbela.

Apa yang menghairankan adalah, sehingga ke hari ini tidak kedengaran suara dari Putera, Puteri, Pemuda mahupun Wanita UMNO untuk menyatakan bantahan mereka. Apakah mereka semuanya terdiri dari golongan yang kaya-raya? Apakah mereka tidak kisah berapa mahal pun harga petrol, mereka mampu membayarnya? Apakah mereka bersetuju kerana mereka juga akan mendapat sedikit habuan dari kenaikan itu? Dimanakah sifat ingin menolong bangsa yang selalu diwar-war oleh mereka? Apakah mereka bukan Melayu sedangkan ramai yang tertekan sekarang ini adalah orang Melayu?

MCA Selangor mencadangkan kerajaan agar memansuhkan cukai jalan dan tol. Kenapa mereka boleh bersuara demi kebajikan rakyat sedangkan UMNO hanya duduk diam membisu. Ketika PRU12 dulu apabila ada orang Melayu mengundi calon Cina, kita kutuk mereka kerana tiada semangat kebangsaan. Sekarang ini siapa sebenarnya yang tiada semangat kebangsaan?

Sebaliknya yang selalu kita dengar dan baca di dada akhbar kisah tentang untuk berebut jawatan. Si anu nak bertanding presiden. Si anu nak merebut jawatan ketua pemuda dan macam-macam lagi tapi berkisar kepada perebutan jawatan. Berdegar-degar mereka bertelingkah pasal jawatan tapi pasal nasib bangsa terus senyap membisu macam tak apa yang berlaku. Apakah orang UMNO hanya gila pada jawatan?

Sedih bila melihat senario ini. Persoalannya, apakah UMNO masih relevan untuk orang Melayu?

Isnin, Jun 09, 2008

Pembaziran Wang Rakyat


Sememangnya telah direzekikan oleh Allah, kebanyakkan negara-negara Islam mempunyai hasil minyak yang cukup lumayan termasuklah negara kita Malaysia. Akan tetapi umat Islam terlalu leka dengan kurniaan Allah itu sehingga mereka melakukan pembaziran yang nyata.

Lihatlah apa yang berlaku di negara kita sendiri. Keuntungan daripada hasil minyak telah dibazirkan kepada projek mewah yang telah ditiriskan dengan amalan penyelewangan dan rasuah yang berleluasa.

Ketua Pemuda PAS Wilayah Persekutuan, Kamaruzzaman Mohamad berkata "Kerajaan boleh berbelanja sehingga RM10 juta ketika melaksanakan majlis pelancaran projek Wilayah Pembangunan Ekonomi Koridor Utara (NCER) tetapi pada masa yang sama tiada peruntukan untuk mengekang kenaikan harga minyak."

Rakyat bukan sahaja dibebani dengan kenaikan harga minyak malah terpaksa menanggung beban tol-tol di seluruh negara.

Persoalannya adakah Kerajaan BN begitu prihatin terhadap masalah rakyat? Seandainya mereka peka dan proaktif, mereka akan mengurangkan perbelanjaan keraian, elaun-elaun ahli-ahli parlimen serta kos pentadbiran.

Begitu juga dengan elaun-elaun para menteri seperti elaun keraian perayaan, ubahsuai pejabat dan lain-lainnya serta mewajibkan para menteri mengguna kenderaan sendiri dari rumah ke pejabat kementerian.

Segala perbelanjaan termasuk mengisi minyak kereta, membayar tol ke tempat kerja (pejabat kementerian) harus ditanggung sendiri, sama seperti yang dilalui oleh rakyat selama ini.

Kalau ingin bicara soal pengorbanan, para pemimpin lah orang yang pertama perlu melakukan pengorbanan terlebih dahulu. Sekiranya tidak mampu melakukannya, usah bicara soal pengorbanan kepada rakyat dan sebenarnya mereka bukanlah pemimpin yang sejati.

Mampukah mereka melakukannya? Rakyat menantikan perubahan ini.

Ahad, Jun 08, 2008

Tunggu dan Lihat


Kerajaan mengumumkan akan melakukan "4 langkah atasi beban" bagi membantu rakyat harungi tempoh sukar. Butiran mengenai empat langkah segera akan diumumkan awal minggu depan untuk meringankan beban pengguna berikutan kenaikan mendadak harga minyak dan tarif elektrik, kata Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Perdana Menteri berkata, empat langkah itu membabitkan tindakan penjimatan kos oleh jabatan dan agensi kerajaan, memperluaskan jaringan jaminan sosial bagi rakyat berpendapatan rendah dan golongan kurang bernasib baik seperti ibu tunggal serta orang kurang upaya, menambah senarai bahan kawalan untuk mengekalkan harga rendah dan meningkatkan jumlah pengangkutan awam seperti bas.

Entahlah... biasanya ia hanya cakap untuk sedapkan telinga rakyat sahaja tetapi perlaksanaan tidak menyeluruh. Dulu pun masa harga minyak naik, kerajaan kata nak menambahbaikkan infrastruktur dan meningkatkan mutu perkhidmatan pengangkutan awam seperti bas. Tapi tak nampak pun tang mana yang bertambah baik. Pi mai.. pi mai... tang tu jugak. Sekarang ni pun masih janji pada perkara yang sama jugak, nak meningkatkan jumlah pengangkutan awam seperti bas.

AnakKechil dah mual dan bosan dengan kerajaan BN ni. Hanya mampu berdoa agar dipercepatkan Pakatan Rakyat pula mentadbir Malaysia. Aminn...