Rabu, Jun 10, 2009

Kerajaan Perpaduan


Selepas Muktamar Tahunan PAS yang ke 55, isu Kerajaan Perpaduan menjadi hangat apabila Presiden PAS sekali lagi menghamparkan idea tersebut kepada ahli-ahli PAS. Secara rambang ada yang menyokongnya dan ada juga yang menentang. Ia bukanlah satu dasar parti yang akan diperjuangkan oleh PAS selepas ini tetapi lebih bertujuan agar ia diperbincangkan secara ilmiah dan diperhalusi dengan lebih teliti untuk kepentingan negara dan rakyat.

Kalau diperhatikan kepada ucapan penangguhan Presiden PAS bahawa “PAS sebagai bahtera yang selamat”, ianya juga ada sangkut paut dengan idea Kerajaan Perpaduan. Meminjam kata-kata beliau "Allah memerintahkan supaya kita mengutamakan perdamaian kerana matlamat adalah untuk menyelamatkan manusia." merupakan satu pesanan kepada seluruh ahli PAS untuk mencurahkan idea dan buah fikiran yang bernas agar Kerajaan Perpaduan yang diilhamkan dapat dilaksanakan di Malaysia dengan menjadikan PAS sebagai bahtera untuk rakyat belayar dengan selamat dalam mengharungi ombak keduniaan yang sungguh ganas sekarang ini.

Apa yang boleh AnakKechil faham sedikit ke atas idea tersebut adalah sebuah Kerajaan Perpaduan yang merangkumi seluruh parti-parti yang ada di Malaysia ini. Pemilihan calon Perdana Menteri (PM) terletak di bawah kuasa DYMMDP Agong. Ianya bukan milik mutlak UMNO seperti yang berlaku sekarang ini. Apabila PM sudah dilantik barulah anggota kabinet dipilih melalui bidang kuasa PM dan diperkenankan oleh DYMMDP Agong. Ahli Parlimen yang tidak dilantik menjadi anggota kabinet berfungsi sebagai menyokong atau membangkang sebarang usul yang dibawa oleh pihak Kerajaan Perpaduan.

Apabila PAS mencetuskan idea ini UMNO merasakan bahawa PAS ingin bergabung dengan mereka. PAS masih tetap komited pada Pakatan Rakyat. PAS tidak sama sekali akan mengkhianati rakan-rakan PKR dan DAP. Apa yang PAS mahu adalah parti-parti lain turut menyokong malah menyertai Pakatan Rakyat. Ini sudah terbukti di beberapa pilihanraya kecil bahawa rakyat memilih Pakatan Rakyat yang mengutamakan kebajikan rakyat. Kerjasama yang telah terjalin dalam Pakatan Rakyat semakin utuh walaupun terdapat beberapa perkara kecil yang boleh diibaratkan kocakkan air di dalam secangkir kopi sahaja. Ia lumrah manusia kerana dalam rumahtangga pun terdapat salah faham antara suami dan isteri, ibubapa dengan anak, adik beradik dan sebagainya.

Kerajaan Perpaduan yang diketengahkan adalah untuk Pakatan Rakyat. Maka pemimpin, penyokong dan semua ahli parti dalam Pakatan Rakyat perlu memikirkan cara mana untuk menterjemahkan konsep Kerajaan Perpaduan ini dan dalam masa yang sama sedia untuk berbincang dengan pihak-pihak yang berada di luar sana demi kepentingan rakyat. Seandainya MCA dan MIC atau mana-mana komponen BN tertarik dengan konsep ini, ayuh kita sambut mereka untuk menyertai Pakatan Rakyat.

Meletakkan rakyat di tempat teratas adalah perkara utama dalam Kerajaan Perpaduan dimana semua rakyat akan terbela tanpa mengira bangsa dan agama. Rasuah dan kronisma dihapuskan serta merta. Ekonomi negara dan rakyat khasnya dapat dijana dengan lebih sistematik tanpa ada gangguan birokrasi yang memualkan.

Ini adalah pandangan dan harapan AnakKechil kepada konsep Kerajaan Perpaduan yang dicetuskan oleh Presiden PAS. Sememangnya banyak lagi persoalan-persoalan yang perlu diketengahkan. Sebaik-baiknya biarlah para pemimpin Pakatan Rakyat berbicara sesama mereka dengan mengambil kira pandangan dan idea dari pakar-pakar yang berkelayakan dan juga rakyat diakar umbi supaya konsep Kerajaan Perpaduan ini menjadi realiti.

Secara simboliknya AnakKechil dapat merasakan bahawa PAS menawarkan diri untuk menjadi nakhoda kepada bahtera Kerajaan Perpaduan ini dengan meletakkan Ulama sebagai
sandarannya kerana kepimpinan Ulama telah terbukti di Kelantan oleh Tuan Guru Nik Aziz dan sekarang ini di Kedah oleh pimpinan Ustaz Azizan. “PAS sebagai bahtera yang selamat”.