Rabu, Julai 09, 2008

Majoriti rakyat sokong debat harga minyak


Ketika dalam perjalanan pulang dari pejabat sekitar jam 6:45 petang tadi, AnakKechil menukar siaran radio kepada siaran Radio24 (93.9 FM). Siaran radio berkenaan telah mengadakan undian samada bersetuju atau tidak debat yang bertajuk "Hari Ini Membentuk Kerajaan, Esok Turun Harga Minyak" antara Anwar Ibrahim dengan Ahmad Shabery yang dijadualkan pada 15hb Julai ini.

Keputusan undian adalah 89 peratus pendengar bersetuju debat itu diadakan manakala 11 peratus lagi tidak bersetuju. Apa yang menarik perhatian AnakKechil adalah siaran radio itu memainkan semula rakaman pendapat mereka yang bersetuju dan tidak bersetuju. Rata-rata mereka yang bersetuju inginkan satu perbahasan yang adil dan telus. Mereka juga tidak mahu ada bias pada mana-mana pihak. Mereka juga mahukan seluruh rakyat berfikiran terbuka dengan menilai sendiri pendapat mana yang lebih bernas dan bermutu. Mereka juga inginkan kerajaan melihat perbahasan ini salah satu dari cabang untuk menimba ilmu dan tidak hanya terhad pada isu harga minyak sahaja malah kepada isu-isu lain yang melibatkan rakyat terbanyak.

Ini membuktikan bahawa rakyat amat dahagakan ilmu. Rakyat amat dahagakan fakta yang jelas. Rakyat amat dahagakan ketelusan kerajaan. Rakyat amat dahagakan keprihatian kerajaan. Rakyat amat dahagakan kebebasan media. Rakyat amat dahagakan perkongsian pendapat. Tidak semestinya pendapat dan pandangan Anwar Ibrahim akan diterima rakyat bulat-bulat dan tidak semestinya Ahmad Shabery tidak mampu membahas segala penghujahan dengan baik dan berkesan. Rakyat tidak menghiraukan siapa yang menang atau kalah kerana bagi rakyat yang penting adalah kebajikan rakyat terbanyak terbela dan terjamin kehidupannya dalam suasana yang mencabar dan menekan sekarang ini. Inilah yang sebenarnya rakyat mahukan.

Sememangnya tiada keputusan samada harga minyak akan diturunkan selepas perbahasan ini tetapi sekurang-kurangnya rakyat dapat mendengar dan menilai bagaimanakah caranya harga minyak dapat diturunkan seandainya Pakatan Rakyat mengambil alih kerajaan nanti. Rakyat dapat memikirkan samada logik atau tidak cadangan yang akan diutarakan nanti.

Apakah kerajaan sudi mendengar keluhan rakyat? Agak menghairankan mereka yang menentang perbahasan ini adalah mereka yang mempunyai jawatan penting dalam UMNO dan kerajaan. Benarkah mereka ini pembela nasib rakyat khususnya orang Melayu? Apakah mereka merasa terlalu pandai mentadbir kerajaan sehinggakan tidak perlu pada pandangan dari rakyat? Atau mereka ini mempunyai kepentingan tertentu berikutan kenaikan harga minyak? Kenapa kerajaan mesti membayar kepada rakyat melalui Pos Malaysia? Siapa pemilik saham terbesar dalam Pos Malaysia?

AnakKechil mengharapkan perbahasan ini akan tetap diteruskan tanpa halangan dari mana-mana pihak. Syabas dan tahniah diucapkan kepada Radio24 kerana bersikap terbuka dalam menyiarkan suara rakyat. Syabas juga diucapkan kepada Ahmad Shabery (kalau jadi debat tu) kerana sudi memberi peluang kepada pemimpin Pakatan Rakyat untuk menyuarakan pendapat dan pandangan secara terbuka kepada rakyat.

Berjuang memastikan ISA terkubur dari bumi Malaysia


AnakKechil menyeru seluruh rakyat Malaysia bersama-sama kita berganding bahu bagi memastikan ISA terkubur dari bumi Malaysia. Kembalilah kepada Islam dan hormatilah kebebasan kehidupan manusia. Jika tahanan ISA benar-benar bersalah dan mempunyai bukti yang cukup untuk disabitkan kesalahan mereka, dakwalah secara adil di Mahkamah agar mereka mendapat keadilan yang secukupnya. Jangan sewenang-wenangnya menahan seseorang dan terus menjatuhkan hukuman tanpa diadili terlebih dahulu.

AnakKechil mencadangkan setiap warga Malaysia yang cintakan kedamaian dan keadilan menampal pelekat anti ISA dicermin kereta masing-masing sebagai tanpa memprotes kezaliman I.S.A.

Nazak dan meninggal dunia tanpa ayah di sisi, kejamnya ISA!
Roy Rasul
Wed Jul 09, 08 6:59:26 am MYT
KUALA LUMPUR,9 Julai (Hrkh) - Aina Mardiah Shahrial, 17, yang menghembus nafasnya tanpa kehadiran orang yang dirindui di sisi, melahirkan rasa marah dan kecewa beberapa pihak apabila pihak polis dilihat melengah-lengahkan pelepasan sementara ayahnya yang ditahan tanpa bicara di Kem Tahanan Kamunting, Perak.

Anak sulung kepada salah seorang tahanan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Shahrial Sirin ternyata dinafikan haknya sekalipun beliau dalam keadaan nazak, ayahnya langsung tidak dapat bersama-samanya di saat-saat akhir beliau dirawat di Hospital Kajang, Selangor pada petang Khamis, 3 Julai lalu.

Biarpun pelbagai usaha dilakukan keluarga, rakan-rakan serta aktivis Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) untuk membawa keluar ayahnya dari Kem Kamunting, Taiping, Perak, tetapi usaha itu gagal kerana ayahnya sampai setelah hampir empat jam Aina meninggal dunia.
(Aina paling kanan bersama rakan sekolahnya.)

Pengerusi GMI, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, beliau berasa sangat sedih kerana Aina meninggal dalam keadaan ayahnya tiada di sisi.

Beliau berkata, ketidaksempatan ayahnya ziarahi beliau yang dalam keadaan koma disebabkan tidak ada kesungguhan polis untuk menyegerakan membawa ayahnya bertemu Aina.

"Tunggu punya tunggu sampailah anaknya pergi menghadap tuhan tanpa melihat ayahnya yang sudah tujuh tahun di penjara," katanya turut berada di hospital ketika Aina kembali ke Rahmatullah.

Katanya, apa yang dikesalkan ialah berita mengenai ketenatan Aina diberitahu kepada pihak berkuasa sejak malam dia dimasukkan ke hospital lagi.

"Ini satu penyeksaan dan bukan sifat kemanusiaan dan sepatutnya pihak berkuasa membenarkannya keluar lebih awal untuk memberi kesempatan kepada seorang ayah untuk menziarah anaknya yang kritikal," katanya.

Katanya, sesungguhnya rasa sedih beliau tidak mungkin sama dengan rasa yang dihadapi keluarga tersebut lebih-lebihnya ibunya, Siti Fatma Masrum yang begitu berharap suaminya tiba pada petang itu.

Beliau berkata sebagai manusia yang mempunyai sifat keinsanan pihak berkuasa sepatutnya merasai keluh kesah keluarga tahanan ISA.

Oleh kerana itu, tidak ada lain cara untuk atasi halangan tersebut melainkan kerajaan membebaskan segera tahanan ISA termasuk Shahrial bagi mengembalikan hak mereka ke pangkuan keluarga.

Malah katanya, peristiwa seperti itu sudah kerap diucapkan dan kerana itu katanya kerajaan harus bertanggungjawab penuh ke atas mereka.

"Ini satu perkara asas tetapi apabila ia dikaburi dengan alasan keselamatan negara yang dianggap lebih besar isu kemanusiaan mnejadi kecil dan remeh," katanya.

Sementara itu,Ketua Penerangan Pemuda PAS Selangor, Mohd Sani Hamzan menyifatkan kematian tersebut sebagai satu kemalangan kepada sistem demokrasi dalam negara ini.

Katanya, ini jelas apabila, ayah adik Aina dinafikan haknya untuk datang melawatnya sehingga pesakit meninggal dunia.

"Saya kira ini merupakan satu malapetaka dan gerak gempur kepada amalan demokrasi yang menampakkan kerajaan Barisan Nasional hilang sifat keperimanusiaan kepada perkara-perkara yang melibatkan kematian dan kehidupan rakyat Malaysia," katanya yang datang menziarah Aina di hospital pada Khamis lalu.

Dalam pada itu, Pengerusi Pusat Sokongan Keluarga Gerakan Mansuh ISA (GMI), Norlaila Osman berkata, peristiwa kematian Aina Madiah merupakan satu bukti terbaru mengenai kezaliman kerajaan yang berkuasa untuk percepatkan lawatan seorang tahanan ISA, Sahrial Sirin untuk melihat anaknya yang sedang tenat di hospital.

Katanya,walaupun beliau bersama-sama kaum keluara dan rakan-rakan menghubungi kem Kamunting sejak malam lagi sama ada melalui telefon dan faks untuk tahanan dibenarkan keluar dari kem tahanan.

Lebih menyayatkan hati katanya, Aina disahkan doktor yang memaklumkan bahawa beliau sedang bertarung nyawa dan bergantung kepada mesin jangka hayat.

Beliau yang turut menemani Aina di hospital mendakwa, pihak berwajib terutamanya anggota SB dilihat sewenang-wenangnya menggunakan kuasa mereka untuk mencabul hak tahanan walaupun hanya untuk melawat anak yang kritikal.

"Bagi saya tiada maaf di atas peristiwa seperti itu dan sebenarnya satu penegasan yang datang daripada mereka yang hatinya kering dan begitu sombong.

"Peristiwa ini juga menguatkan azam saya untuk terus berjuang memastikan ISA terkubur dari bumi Malaysia," tegasnya. - mks._


Selasa, Julai 08, 2008

Perkataan 'SUMPAH' tiba-tiba begitu populor.


Muktahir ini suasana politik negara kita semakin menyesakkan akal dan fikiran kita semua. Perkataan 'SUMPAH' begitu populor dengan pelbagai reaksi yang tersendiri. Ada pihak yang menyuruh pihak satu lagi itu bersumpah. Pihak yang kena suruh bersumpah,
menyatakan pihak yang menyuruh itu pula yang kena bersumpah. Ada yang buat akuan bersumpah tetapi membuat akuan bersumpah yang menarik balik beberapa perkara dalam akuan bersumpah sebelumnya. Boleh dikatakan awal bulan Julai dan Rejab ini penuh dengan perkataan sumpah.

AnakKechil merasa hairan dan pelik kenapa perkara sebegini boleh berlaku. Apakah kita tidak berasa malu dengan masyarakat dunia yang mentertawakan kita. Di manakah fokus kita untuk memajukan rakyat dan negara ini? Negara lain sibuk dengan kegawatan bahan dan harga makanan tapi kita sibuk dengan sumpah itu dan sumpah ini.

Cukuplah... wahai rakyat Malaysia semua. Tumpukan perhatian dan fokus kita kepada keperluan rakyat. Teruskan berkempen menurunkan harga minyak untuk menekan kerajaan agar tunduk dengan kehendak rakyat. Biarkan isu 'SUMPAH' ini diselesaikan oleh pihak yang berwajib. AnakKechil tahu bahawa pihak berwajib sekarang ini sukar untuk dipercayai ketelusannya tetapi Pakatan Rakyat perlu ada strategi yang baik untuk mengimbanginya.

Berikut adalah beberapa cadangan AnakKechil:

1) Bentuk satu pasukan yang akan memantau perjalanan kes 'Sumpah' dan '5X' ini dengan penuh teliti.

2) Pasukan kedua pula teruskan usaha berkempen 'PROTES Sejuta Rakyat' dengan mengedarkan pelekat kereta secara percuma kepada orang ramai untuk ditampalkan di cermin kereta sebagai tanda menyokong protes menurunkan harga minyak.

3) Pasukan ketiga memantau setiap menteri dengan memberi tanggungjawab kepada 3 orang ahli parlimen Pakatan Rakyat bagi satu kementerian.

Terpulanglah kepada pimpian Pakatan Rakyat untuk menerima atau melupakan sahaja pandangan dari Anakkechil ini. Sebagai rakyat yang cintakan keamanan dan keharmonian hidup hanya ini sahaja yang termampu dilakukan.

AnakKechil berdoa agar pimpinan Pakatan Rakyat akan lebih proaktif dan berfikirn luas dalam membela nasib rakyat terbanyak.