Rabu, Julai 09, 2008

Berjuang memastikan ISA terkubur dari bumi Malaysia


AnakKechil menyeru seluruh rakyat Malaysia bersama-sama kita berganding bahu bagi memastikan ISA terkubur dari bumi Malaysia. Kembalilah kepada Islam dan hormatilah kebebasan kehidupan manusia. Jika tahanan ISA benar-benar bersalah dan mempunyai bukti yang cukup untuk disabitkan kesalahan mereka, dakwalah secara adil di Mahkamah agar mereka mendapat keadilan yang secukupnya. Jangan sewenang-wenangnya menahan seseorang dan terus menjatuhkan hukuman tanpa diadili terlebih dahulu.

AnakKechil mencadangkan setiap warga Malaysia yang cintakan kedamaian dan keadilan menampal pelekat anti ISA dicermin kereta masing-masing sebagai tanpa memprotes kezaliman I.S.A.

Nazak dan meninggal dunia tanpa ayah di sisi, kejamnya ISA!
Roy Rasul
Wed Jul 09, 08 6:59:26 am MYT
KUALA LUMPUR,9 Julai (Hrkh) - Aina Mardiah Shahrial, 17, yang menghembus nafasnya tanpa kehadiran orang yang dirindui di sisi, melahirkan rasa marah dan kecewa beberapa pihak apabila pihak polis dilihat melengah-lengahkan pelepasan sementara ayahnya yang ditahan tanpa bicara di Kem Tahanan Kamunting, Perak.

Anak sulung kepada salah seorang tahanan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Shahrial Sirin ternyata dinafikan haknya sekalipun beliau dalam keadaan nazak, ayahnya langsung tidak dapat bersama-samanya di saat-saat akhir beliau dirawat di Hospital Kajang, Selangor pada petang Khamis, 3 Julai lalu.

Biarpun pelbagai usaha dilakukan keluarga, rakan-rakan serta aktivis Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) untuk membawa keluar ayahnya dari Kem Kamunting, Taiping, Perak, tetapi usaha itu gagal kerana ayahnya sampai setelah hampir empat jam Aina meninggal dunia.
(Aina paling kanan bersama rakan sekolahnya.)

Pengerusi GMI, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, beliau berasa sangat sedih kerana Aina meninggal dalam keadaan ayahnya tiada di sisi.

Beliau berkata, ketidaksempatan ayahnya ziarahi beliau yang dalam keadaan koma disebabkan tidak ada kesungguhan polis untuk menyegerakan membawa ayahnya bertemu Aina.

"Tunggu punya tunggu sampailah anaknya pergi menghadap tuhan tanpa melihat ayahnya yang sudah tujuh tahun di penjara," katanya turut berada di hospital ketika Aina kembali ke Rahmatullah.

Katanya, apa yang dikesalkan ialah berita mengenai ketenatan Aina diberitahu kepada pihak berkuasa sejak malam dia dimasukkan ke hospital lagi.

"Ini satu penyeksaan dan bukan sifat kemanusiaan dan sepatutnya pihak berkuasa membenarkannya keluar lebih awal untuk memberi kesempatan kepada seorang ayah untuk menziarah anaknya yang kritikal," katanya.

Katanya, sesungguhnya rasa sedih beliau tidak mungkin sama dengan rasa yang dihadapi keluarga tersebut lebih-lebihnya ibunya, Siti Fatma Masrum yang begitu berharap suaminya tiba pada petang itu.

Beliau berkata sebagai manusia yang mempunyai sifat keinsanan pihak berkuasa sepatutnya merasai keluh kesah keluarga tahanan ISA.

Oleh kerana itu, tidak ada lain cara untuk atasi halangan tersebut melainkan kerajaan membebaskan segera tahanan ISA termasuk Shahrial bagi mengembalikan hak mereka ke pangkuan keluarga.

Malah katanya, peristiwa seperti itu sudah kerap diucapkan dan kerana itu katanya kerajaan harus bertanggungjawab penuh ke atas mereka.

"Ini satu perkara asas tetapi apabila ia dikaburi dengan alasan keselamatan negara yang dianggap lebih besar isu kemanusiaan mnejadi kecil dan remeh," katanya.

Sementara itu,Ketua Penerangan Pemuda PAS Selangor, Mohd Sani Hamzan menyifatkan kematian tersebut sebagai satu kemalangan kepada sistem demokrasi dalam negara ini.

Katanya, ini jelas apabila, ayah adik Aina dinafikan haknya untuk datang melawatnya sehingga pesakit meninggal dunia.

"Saya kira ini merupakan satu malapetaka dan gerak gempur kepada amalan demokrasi yang menampakkan kerajaan Barisan Nasional hilang sifat keperimanusiaan kepada perkara-perkara yang melibatkan kematian dan kehidupan rakyat Malaysia," katanya yang datang menziarah Aina di hospital pada Khamis lalu.

Dalam pada itu, Pengerusi Pusat Sokongan Keluarga Gerakan Mansuh ISA (GMI), Norlaila Osman berkata, peristiwa kematian Aina Madiah merupakan satu bukti terbaru mengenai kezaliman kerajaan yang berkuasa untuk percepatkan lawatan seorang tahanan ISA, Sahrial Sirin untuk melihat anaknya yang sedang tenat di hospital.

Katanya,walaupun beliau bersama-sama kaum keluara dan rakan-rakan menghubungi kem Kamunting sejak malam lagi sama ada melalui telefon dan faks untuk tahanan dibenarkan keluar dari kem tahanan.

Lebih menyayatkan hati katanya, Aina disahkan doktor yang memaklumkan bahawa beliau sedang bertarung nyawa dan bergantung kepada mesin jangka hayat.

Beliau yang turut menemani Aina di hospital mendakwa, pihak berwajib terutamanya anggota SB dilihat sewenang-wenangnya menggunakan kuasa mereka untuk mencabul hak tahanan walaupun hanya untuk melawat anak yang kritikal.

"Bagi saya tiada maaf di atas peristiwa seperti itu dan sebenarnya satu penegasan yang datang daripada mereka yang hatinya kering dan begitu sombong.

"Peristiwa ini juga menguatkan azam saya untuk terus berjuang memastikan ISA terkubur dari bumi Malaysia," tegasnya. - mks._


Tiada ulasan: