Rabu, Julai 09, 2008

Majoriti rakyat sokong debat harga minyak


Ketika dalam perjalanan pulang dari pejabat sekitar jam 6:45 petang tadi, AnakKechil menukar siaran radio kepada siaran Radio24 (93.9 FM). Siaran radio berkenaan telah mengadakan undian samada bersetuju atau tidak debat yang bertajuk "Hari Ini Membentuk Kerajaan, Esok Turun Harga Minyak" antara Anwar Ibrahim dengan Ahmad Shabery yang dijadualkan pada 15hb Julai ini.

Keputusan undian adalah 89 peratus pendengar bersetuju debat itu diadakan manakala 11 peratus lagi tidak bersetuju. Apa yang menarik perhatian AnakKechil adalah siaran radio itu memainkan semula rakaman pendapat mereka yang bersetuju dan tidak bersetuju. Rata-rata mereka yang bersetuju inginkan satu perbahasan yang adil dan telus. Mereka juga tidak mahu ada bias pada mana-mana pihak. Mereka juga mahukan seluruh rakyat berfikiran terbuka dengan menilai sendiri pendapat mana yang lebih bernas dan bermutu. Mereka juga inginkan kerajaan melihat perbahasan ini salah satu dari cabang untuk menimba ilmu dan tidak hanya terhad pada isu harga minyak sahaja malah kepada isu-isu lain yang melibatkan rakyat terbanyak.

Ini membuktikan bahawa rakyat amat dahagakan ilmu. Rakyat amat dahagakan fakta yang jelas. Rakyat amat dahagakan ketelusan kerajaan. Rakyat amat dahagakan keprihatian kerajaan. Rakyat amat dahagakan kebebasan media. Rakyat amat dahagakan perkongsian pendapat. Tidak semestinya pendapat dan pandangan Anwar Ibrahim akan diterima rakyat bulat-bulat dan tidak semestinya Ahmad Shabery tidak mampu membahas segala penghujahan dengan baik dan berkesan. Rakyat tidak menghiraukan siapa yang menang atau kalah kerana bagi rakyat yang penting adalah kebajikan rakyat terbanyak terbela dan terjamin kehidupannya dalam suasana yang mencabar dan menekan sekarang ini. Inilah yang sebenarnya rakyat mahukan.

Sememangnya tiada keputusan samada harga minyak akan diturunkan selepas perbahasan ini tetapi sekurang-kurangnya rakyat dapat mendengar dan menilai bagaimanakah caranya harga minyak dapat diturunkan seandainya Pakatan Rakyat mengambil alih kerajaan nanti. Rakyat dapat memikirkan samada logik atau tidak cadangan yang akan diutarakan nanti.

Apakah kerajaan sudi mendengar keluhan rakyat? Agak menghairankan mereka yang menentang perbahasan ini adalah mereka yang mempunyai jawatan penting dalam UMNO dan kerajaan. Benarkah mereka ini pembela nasib rakyat khususnya orang Melayu? Apakah mereka merasa terlalu pandai mentadbir kerajaan sehinggakan tidak perlu pada pandangan dari rakyat? Atau mereka ini mempunyai kepentingan tertentu berikutan kenaikan harga minyak? Kenapa kerajaan mesti membayar kepada rakyat melalui Pos Malaysia? Siapa pemilik saham terbesar dalam Pos Malaysia?

AnakKechil mengharapkan perbahasan ini akan tetap diteruskan tanpa halangan dari mana-mana pihak. Syabas dan tahniah diucapkan kepada Radio24 kerana bersikap terbuka dalam menyiarkan suara rakyat. Syabas juga diucapkan kepada Ahmad Shabery (kalau jadi debat tu) kerana sudi memberi peluang kepada pemimpin Pakatan Rakyat untuk menyuarakan pendapat dan pandangan secara terbuka kepada rakyat.

Tiada ulasan: