Sabtu, Julai 05, 2008

Ingatan Presiden PAS: Pertahan akhlak Islam hadapi saat serba mencabar

Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang
Sat Jul 05, 08 7:04:21 am MYT

Berhubung dengan pelbagai fitnah yang tersebar dengan meluas dalam negara kita kebelakangan ini, bagi pihak PAS, saya suka menyeru agar semua kita kembali berpaut kepada ajaran Islam yang sebenar.

Kita menegaskan bahawa fitnah adalah lebih merbahaya daripada membunuh, oleh kerana itu kita tidak boleh menyebarkan sebarang fitnah sewenang-wenangnya. Sesungguhnya Islam meletakkan garis panduan dalam semua perkara tapi malangnya kita sendiri memilih untuk menjauhkan diripada ajaran Islam.

Islam dengan jelas mengajar dan menetapkan hukuman yang berkait dengan memfitnah termasuk fitnah zina dan liwat.

Seseorang tidak boleh menuduh seseorang yang lain dengan dosa itu melainkan mengemukakan empat orang saksi.

Sekiranya tidak ada empat orang saksi, maka orang yang menuduh hendaklah dijatuhkan hukuman hudud dan menjadi fasik, dan beliau tidak boleh menjadi saksi lagi.

Di dalam Islam seorang yang dituduh tidak boleh dianggap bersalah sehingga dibuktikan kesalahnnya ataupun orang itu mengaku sendiri dengan rela diri tanpa paksaan yang ia telah melakukan kesalahan tersebut.

Kita mengharapkan masyarakat Islam supaya memelihara akhlak yang diajar oleh Islam ini dan menunjukkan contoh yang terbaik kepada semua pihak. Apa yang mendukacitakan gejala ini berlaku di kalangan pemimpin-pemimpin Melayu yang mengaku beragama Islam.

Oleh itu saya menyeru supaya sesiapa sahaja yang melakukan kesalahan sedemikian rupa hendaklah bertaubat kepada Allah SWT kerana dosa itu termasuk dalam kategori dosa besar yang diberi amaran keras oleh Allah SWT di dalam al Quran dan oleh Nabi kita Muhammad s.a.w. dan diperingatkan oleh para ulamak di sepanjang zaman.

Saya menyeru ahli-ahli PAS supaya kembali kepada pegangan kita yang termaktub dalam Perlembagaan PAS dan menunjukkan contoh yang terbaik kepada semua pihak di saat yang serba mencabar dan meruncing ini.

4 Julai, 2008

Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Presiden Parti Islam Se Malaysia (PAS)

Dipetik dari Harakahdaily

Tiada ulasan: