Jumaat, Julai 04, 2008

Bilakah ISA akan dihapuskan?


AnakKechil ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan Takziah kepada Shahrial Sirin sekeluarga. Semoga roh anaknya ditempatkan dikalangan orang-orang yang dikasihi Allah. Sesungguhnya ujian yang Allah berikan kepada keluarga Shahrial amat hebat. Hanya keimanan yang utuh kepadaNya sahaja mampu untuk menempuh semua itu. Seandainya dugaan dan ujian sehebat ini dikenakan ke atas diri AnakKechil, belum tentu mampu untuk menghadapinya. Kepada Shahrial sekeluarga banyakkan bersabar dan berdoa kepada Allah supaya ditenangkan jiwa dan dikuatkan iman.

Anak tahanan ISA meninggal dunia ketika kelibat ayah belum kelihatan
Ahmad Tajdid

KUALA LUMPUR, 3 Julai (Hrkh) - Anak mangsa tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Aina Mardiah Shahrial menghembuskan nafas terakhir di Wad Blok A, Tingkat 3, Hospital Kajang selepas terlantar koma dan nazak sejak semalam.

Lebih mendukacitakan, bapa kandung Allahyarhamah, Shahrial Sirin yang dilaporkan bertolak dari Kem Tahanan Kemunting selepas mendapat kelepasan Menteri Dalam Negeri, Dato' Seri Syed Hamid Albar jam 1.00 tengahari tadi masih belum tiba di hospital.

Aina Mardhiah menghembuskan nafas terakhir di sisi ibunya, Siti Fatma dan ahli keluarga terdekat.

Anak sulung pasangan terbabit dilaporkan terjatuh di rumahnya semalam dan berada dalam keadaan koma sehingga disahkan meninggal dunia.

Shahrial ditahan di Kem Tahanan Kamunting sejak tujuh tahun lalu.

Usaha Pusat Sokongan Keluarga Gerakan Mansuhkan ISA (ISA), untuk mendapatkan pelepasan sementara Shahrial bagi menziarahi anaknya menghadapi kerenah birokrasi yang cukup memeritkan.

"Walaupun permohonan telah dibuat awal (semalam) namun, jam 1.00 petang tadi barulah pelepasan itu dapat diberikan, inikah moral kerajaan tatkala soal nyawa anak tahanan menjadi taruhan," kata Aliza Jaffar salah seorang ahli PSK GMI yang ditemui di Hospital Kajang sebentar tadi.

Ketua Pengarang Kumpulan Harakah, Ahmad Lutfi Othman turut berada di hospital setelah mendapat berita pemergian Aina Mardhiah.

"Semoga Allah SWT memberi kesabaran kepada keluarga Allahyarhamah dan memberi balasan setimpal kepada mereka yang menzalimi keluarga ini," ujar Lutfi kesal.- tajdid


Akta ISA nyata telah menzalimi ramai rakyat di Malaysia ini. Kenapa kerajaan masih berpegang kepada idea lapuk dan ketinggalan zaman dalam mengekalkan akta ini. Apakah benar mereka yang ditahan ini boleh mengancam keselamatan negara? Apakah pemimpin kerajaan yang ada sekarang ini meletakkan agama di bawah tapak kaki mereka? Apakah mereka semua lupa akan hari akhirat nanti di mana seluruh manusia akan dikumpulkan di padang Mashyar untuk menerima pembalasan? Allah yang Maha Berkuasa, Pencipta manusia serta langit dan bumi, mengetahui segala perbuatan manusia yang nyata mahupun tersembunyi, tetap menjanjikan hari pengadilan kepada seluruh umat manusia kenapa kita manusia yang dicipta dan dipinjamkan nyawa sekejap oleh ALLAH, bersikap terlalu sombong dan angkuh dengan menghukum tanpa bicara kepada tahanan ISA???

Marilah semua rakyat Malaysia berdoa agar kezaliman ini akan terhapus di bumi yang dicintai ini secepat mungkin.

Tiada ulasan: