Agak terperanjat juga bila mendengar berita bahawa DSAI sekali lagi dituduh melakukan perbuatan "XXXXX" sama seperti 10 tahun yang lalu. Boleh dikatakan peristiwa pada tahun 1998 berulang kembali pada tahun 2008. Cuma bulannya terawal sedikit atau sengaja diterbalikkan dari 9 (September) kepada 6 (Jun). Mungkin angka 6 menunjukkan bahawa cerita kali ini lagi "best" dan lagi "kow-kow" seperti kita menunjukkan simbul tersebut dengan mengenggam empat jari tangan sambil ibu jari ditegakkan. Sengaja AnakKechil tidak menulis perkataan sebenar tapi sekadar meletakkan 5X kerana ia adalah satu perbuatan yang melebihi batas kemanusiaan.
Apabila membaca berita ini di dada akhbar, AnakKechil termenung seketika. Apakah yang dibaca tadi betul-betul berlaku. Akhbar Berita Minggu dan Mingguan Malaysia tidak menamakan pemimpin terbabit tetapi akhbar The Star secara jelas menulis nama DSAI. Untuk kepastian AnakKechil lawati laman web harakahdaily. Nah... ianya jelas dan nyata DSAI dituduh sekali lagi.
Rasanya seluruh rakyat Malaysia masih terpinga-pinga adakah berita ini betul atau palsu semata-mata atau satu konspirasi terkini untuk menjatuhkan dan mengaibkan DSAI. Ini tidak mustahil kerana ketika pilihanraya kecil Ijuk pada tahun 2007, AnakKechil pernah melayari laman blog penyokong parti BN. Di dalamnya terdapat ruang forum untuk rakyat meluahkan pendapat dan pandangan. Isu utama dalam forum tersebut, mereka masih tetap mengungkit-ungkitkan peristiwa 5X itu ke atas diri DSAI. Apakah 5X ini satu senjata yang jitu dan tajam untuk mereka membelasah, menghentam dan seterusnya membunuh karier politik DSAI? AnakKechil yakin dan percaya, kali ini mereka akan menjalankan kes ini dengan penuh berhati-hati dan terperinci sekali agar segala lopang yang berlaku pada tahun 1998 dulu tidak dapat dipertikaikan lagi oleh rakyat.
AnakKechil rasa amat sedih dan terkilan dengan senario politik sekarang ini kerana demi politik mereka sanggup membelakangkan agama. Mereka menggunakan politik untuk kepentingan peribadi bukannya untuk memperjuangkan nasib rakyat dan negara. Mereka sanggup lakukan apa sahaja tanpa mengira ianya halal atau haram asalkan tindakan dan perbuatan mereka itu menguntungkan kerja politik masing-masing.
AnakKechil memohon seluruh rakyat Malaysia yang cintakan keamanan dan keharmonian hidup di tanah bertuah ini agar sama-sama bermohon doa kepada Allah agar dibuktikan kebenaran ini. Rakyat sudah tidak tertanggung lagi dengan permainan politik yang menjijikan dan meloyakan ini. Sudahlah rakyat dibebani dengan kenaikan kos sara hidup yang semakin hari semakin meningkat kini dijamu pula cerita yang memualkan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan