Selasa, Jun 17, 2008

Kerajaan BN Selalu Ingat Rakyat Bodoh


Sepanjang mengikuti perjalanan politik di tanahair sering kedengaran kenyataan-kenyataan dari pimpinan UMNO atau BN yang agak melucukan dan kekadang boleh dianggap terlalu bodoh. Maaf... kerana itu adalah ayat yang paling sesuai untuk digunakan kerana kenyataan yang dibuat seolah-olah mengambarkan bahawa orang yang berada di atas itu adalah pemimpin yang datang dari langit dan mereka ini adalah dari kalangan bijak pandai yang rakyat harus terima cakap mereka walaupun temberang sahaja manakala rakyat pula adalah golongan bawahan yang tidak ada akal fikiran yang boleh diperbodohkan begitu sahaja.

Mereka lupa atau mudah lupa bahawa kebanyakan rakyat pada hari ini adalah mereka yang berpelajaran dan mampu berfikir secara matang. Rakyat selalu merujuk kepada fakta dan bukan cakap-cakap kosong. Cuba kerajaan membuat bancian bahawa sekarang ini, setiap satu keluarga yang ada di Malaysia ini sekurang-kurangnya mempunyai seorang ahli keluarga yang berjaya melangkah ke pusat pendidikan tinggi. Tidak kiralah universiti awam, swasta atau pun kolej swasta. Saya yakin ini adalah fakta yang belum lagi dicungkil oleh mana-mana pihak.

Senario ini menunjukkan tahap pendidikan dan pemikiran rakyat semakin tinggi kerana apabila mereka berjaya melangkah ke menara gading konsep pembelajaran lebih terbuka dan memerlukan mereka berfikir berdasarkan fakta-fakta yang wujud dalam menyiapkan kertas projek. Secara tidak langsung ia mempengaruhi cara kehidupan rakyat agar berfikir dahulu sebelum menerima cakap-cakap kosong yang tidak mengikut fakta yang ada.

Baru-baru ini Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi yang mencabar lima negeri Pakatan Rakyat supaya menurunkan harga minyak terlebih dahulu sebagaimana yang dijanjikan dalam manifesto pilihan raya umum lalu. Ini adalah satu kenyataan yang tidak berasaskan fakta kerana semua orang tahu harga minyak ditentukan oleh kerajaan pusat bukannya negeri. Kerajaan negeri tidak mempunyai hak untuk memungut cukai pendapatan.

Saya bersetuju dengan ahli parlimen Pokok Sena dan Ketua Penerangan Pusat, Mahfuz Omar bahawa "hujah PM hanya mahu mempengaruhi orang kampung seolah-olah PAS hanya pandai berjanji sedangkan jika diteliti janji yang terkandung dalam manifesto Pakatan Rakyat akan menurunkan harga minyak jika dapat mengambil alih tampuk pemerintahan negara."

Datuk Seri Anwar Ibrahim berjanji akan menurunkan harga minyak sekiranya Pakatan Rakyat berjaya menjadi kerajaan pusat dan telinga saya sendiri mendengarnya secara sedar ketika beliau berkempen pada PRU12 lagi dan nadanya tetap sama sehingga sekarang. Pakatan Rakyat pada peringkat negeri sebelum PRU12 tidak pernah berjanji untuk menurunkan harga minyak kerana itu adalah di bawah bidang kuasa kerajaan pusat sebaliknya ia akan berlaku bila kuasa kerajaan pusat berada ditangan mereka.

Persoalannya apakah kerajaan BN masih lagi tidak sedar bahawa rakyat sudah cerdik dan pintar? Apakah mereka merasakan rakyat masih boleh diperbodoh-bodohkan seperti dahulu? Apakah mereka merasakan rakyat yang memberi undi kepada Pakatan Rakyat adalah golongan rakyat yang bodoh?

Tiada ulasan: