Isnin, Jun 30, 2008

Peristiwa hitam 1998 berulang kembali


Agak terperanjat juga bila mendengar berita bahawa DSAI sekali lagi dituduh melakukan perbuatan "XXXXX" sama seperti 10 tahun yang lalu. Boleh dikatakan peristiwa pada tahun 1998 berulang kembali pada tahun 2008. Cuma bulannya terawal sedikit atau sengaja diterbalikkan dari 9 (September) kepada 6 (Jun). Mungkin angka 6 menunjukkan bahawa cerita kali ini lagi "best" dan lagi "kow-kow" seperti kita menunjukkan simbul tersebut dengan mengenggam empat jari tangan sambil ibu jari ditegakkan. Sengaja AnakKechil tidak menulis perkataan sebenar tapi sekadar meletakkan 5X kerana ia adalah satu perbuatan yang melebihi batas kemanusiaan.

Apabila membaca berita ini di dada akhbar, AnakKechil termenung seketika. Apakah yang dibaca tadi betul-betul berlaku. Akhbar Berita Minggu dan Mingguan Malaysia tidak menamakan pemimpin terbabit tetapi akhbar The Star secara jelas menulis nama DSAI. Untuk kepastian AnakKechil lawati laman web harakahdaily. Nah... ianya jelas dan nyata DSAI dituduh sekali lagi.

Rasanya seluruh rakyat Malaysia masih terpinga-pinga adakah berita ini betul atau palsu semata-mata atau satu konspirasi terkini untuk menjatuhkan dan mengaibkan DSAI. Ini tidak mustahil kerana ketika pilihanraya kecil Ijuk pada tahun 2007, AnakKechil pernah melayari laman blog penyokong parti BN. Di dalamnya terdapat ruang forum untuk rakyat meluahkan pendapat dan pandangan. Isu utama dalam forum tersebut, mereka masih tetap mengungkit-ungkitkan peristiwa 5X itu ke atas diri DSAI. Apakah 5X ini satu senjata yang jitu dan tajam untuk mereka membelasah, menghentam dan seterusnya membunuh karier politik DSAI? AnakKechil yakin dan percaya, kali ini mereka akan menjalankan kes ini dengan penuh berhati-hati dan terperinci sekali agar segala lopang yang berlaku pada tahun 1998 dulu tidak dapat dipertikaikan lagi oleh rakyat.

AnakKechil rasa amat sedih dan terkilan dengan senario politik sekarang ini kerana demi politik mereka sanggup membelakangkan agama. Mereka menggunakan politik untuk kepentingan peribadi bukannya untuk memperjuangkan nasib rakyat dan negara. Mereka sanggup lakukan apa sahaja tanpa mengira ianya halal atau haram asalkan tindakan dan perbuatan mereka itu menguntungkan kerja politik masing-masing.

AnakKechil memohon seluruh rakyat Malaysia yang cintakan keamanan dan keharmonian hidup di tanah bertuah ini agar sama-sama bermohon doa kepada Allah agar dibuktikan kebenaran ini. Rakyat sudah tidak tertanggung lagi dengan permainan politik yang menjijikan dan meloyakan ini. Sudahlah rakyat dibebani dengan kenaikan kos sara hidup yang semakin hari semakin meningkat kini dijamu pula cerita yang memualkan.

Khamis, Jun 26, 2008

Tersentuh Rasa Hati


Hati AnakKechil rasa tersentuh apabila membaca tulisan di bawah kerana Tuan Guru menolak kepentingan parti demi rakyat dengan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh rakyat yang berjuang untuk mendapatkan kembali royalti minyak bagi rakyat Terengganu. Akan tetapi sesuatu yang amat menyedihkan kerana tidak kedengaran ayat "terima kasih" dari kerajaan Terengganu (BN) berkaitan perkara ini. Mungkin AnakKechil terlepas pandang. Mudah-mudahan kesejahteraan dan kebajikan rakyat akan terus terbela bila pemimpin seperti Tuan Guru dan lain-lainnya tetap teguh kepada Islam. Islam amat sempurna dan memimpin ummah ke arah kecemerlangan. Tahniah !!! Rakyat Terengganu.

Royalti minyak: Setelah rakyat dizalimi, akhirnya hak dikembalikan

Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang
Sun Jun 15, 08 8:45:09 pm MYT

Setelah sekian lama rakyat Terengganu dizalimi dan dinafikan hak untuk memperolehi hasil royalti minyak, maka akhirnya bayaran royalti ini dikembalikan ke pangkuan rakyat negeri Terengganu.

Pengumuman yang dibuat oleh Perdana Menteri pada 14 Jun 2008 bahawa bayaran royalti minyak ini akan dikembalikan telah memberi gambaran bahawa sememangnya pembayaran tunai hasil royalti minyak sejak dari 5 September 2000 telah dinafikan walaupun ianya telah termaktub dalam perjanjian perundangan antara kerajaan pusat dan negeri Terengganu.

Ternyata rakyat telah dianiaya dan dizalimi hasil dari tindakan politik sempit kerajaan pusat apabila PAS mengambilalih pentadbiran kerajaan negeri Terengganu pada tahun 1999 yang lalu.

Penafian hak ini berlaku semata-mata kerana rakyat telah melaksanakan tanggungjawab berdasarkan kepada lunas demokrasi dalam pilihan raya.

Sejak itu PAS telah mengambil tanggungjawab untuk mendapatkan kembali hak yang sememangnya termaktub dalam perjanjian ini dengan memulakan proses perundangan setelah kerajaan pusat pimpinan BN terus menerus menunjukkan sikap tidak peduli dengan permintaan kerajaan negeri pimpinan PAS untuk mendapatkan kembali royalti minyak.

Ternyata bukan sahaja kerajaan pusat tidak menghormati prinsip perjanjian yang telah ditandatangani, tetapi juga telah secara tidak beretika menukarkan status wang royalti dengan nama yang lain tanpa secara sah dan bertanggungjawab.

Apabila pimpinan kerajaan negeri Terengganu bertukar tangan pada tahun 2004, kerajaan negeri di bawah pimpinan Menteri Besar Dato' Seri Idris Jusoh tidak berusaha mendapatkan kembali wang royalti ini, sebaliknya menerima peruntukan Dana Khas yang berjumlah berbilion ringgit kononnya sebagai ganti wang royalti minyak yang sepatutnya dibayar.

Hasilnya, pembelanjaan terhadap peruntukan Dana Khas ini tidak dilaksanakan dengan telus dan berintegriti sebagaimana yang telah dicatatkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2007.

Sepanjang tempoh ini, PAS sentiasa konsisten memperjuangkan hak rakyat ini tanpa henti. PAS menaruh harapan yang tinggi agar khazanah negeri ini digunakan secara telus, adil dan penuh integriti untuk kepentingan seluruh warga negeri Terengganu tanpa mengira anutan agama, bangsa dan fahaman politik kepartian.

PAS juga ingin merakamkan setinggi penghargaan kepada seluruh ahli dan kepimpinan PAS, badan-badan bukan kerajaan (NGO), Majlis Permuafakatan Rakyat Terengganu (MAMPAT), orang perseorangan dan seluruh rakyat Malaysia yang telah melakukan pelbagai usaha sehingga akhirnya wang royalti minyak ini kembali ke pangkuan rakyat. Tahniah Rakyat Terengganu, Tahniah Untuk Semua.

Presiden PAS_