Khamis, Jun 12, 2008

Cadangan Awal Tuan Guru Nik Aziz


Nik Aziz cetus cadangan gaji dua kali sebulan empat tahun lalu

Lanjusoh
Thu Jun 12, 08 8:55:14 pm MYT

KOTA BHARU, 12 Jun (Hrkh) ? Cadangan kerajaan persekutuan bagi membayar gaji dua kali sebulan sebenarnya sudah lama dicetuskan Menteri Besar Kelantan.

Malah kerajaan negeri sudah membuat kajian mengenai cadangan tersebut dan ia didapati agak kurang sesuai kerana memerlukan kakitangan lebih ramai dan menyukarkan dari aspek pentadbiran.

Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, cadangan mengenai perkara itu empat tahun lepas dicetus kerana memikirkan cara meringankan bebanan kakitangan kerajaan.

"Bagaimanapun selepas dikemukakan kepada pegawai, mereka menjelaskan pelaksanaan agak sukar kerana ia memerlukan lebih ramai lagi kakitangan untuk melaksanakan tugas tersebut."

"Selain itu banyak lagi kesulitan lain yang bakal dihadapi. Jadi ekoran timbul masalah tersebut menyebabkan cadangan saya itu belum lagi dapat dilaksanakan di Kelantan" katanya pada persidangan media di kediamannya di Pulau Melaka, hari ini.

Semalam Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan gaji pegawai dan kakitangan awam akan dibayar dua kali sebulan mulai Ogos depan.

Menurutnya langkah itu dibuat bagi membantu kakitangan awam mengurus perbelanjaan dan aliran tunai isi rumah ekoran kenaikan harga bahan api.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz berkata, sekiranya ada pihak lain yang mampu melaksanakan gaji dua kali sebulan beliau turut menyokongnya.

Ditanya konsep Islam Hadhari yang ditolak kerajaan Selangor dan negeri-negeri Pakatan Rakyat katanya, Kelantan tidaklah sampai mahu mengharamnya.

"Biar pun saya tahu Islam Hadhari adalah karut namun saya lebih suka menjawabnya kembali dengan fakta-fakta dan nas-nas al Quran."

"Kalaulah betul konsep Islam Hadhari, di mana pula Iman Hadhari kerana Islam dan Iman tidak boleh diasingkan. Ia akan disoal di akhirat kelak" ujarnya.

Beliau juga bimbang suasana dalam negara tidak akan menjadi aman lagi kerana kehidupan rakyat semakin terdesak sekarang ekoran kenaikan harga minyak baru-baru ini.

Menurutnya, tidak boleh ditolak kemungkinan akan berleluasa gejala mencuri, merompak dan pelbagai lagi perlakuan jenayah kerana kehidupan rakyat semakin tertekan.

Oleh itu katanya adalah menjadi hak rakyat untuk berdemontrasi bagi membantah kenaikan harga minyak bagi menyatakan masalah mereka.

Beliau yang juga Mursyidul Am PAS menjelaskan elaun wakil rakyat PAS di Kelantan dipotong sejak lebih 18 tahun lalu kerana memikirkan kebajikan rakyat perlu diutamakan.

"Saya sendiri kalau hadir pada mesyuarat lembaga anak-anak syarikat milik kerajaan negeri meminta pegawai memotong 50 peratus elaun yang diperuntukkan kepada saya" ujarnya.

Kelmarin Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob memberitahu setiap wakil rakyat PAS di Kelantan dipotong elaun bulanan sebanyak 25 peratus untuk Tabung Serambi Mekah dan kebajikan parti serta rakyat. - mj _

Petikan dari HarakahDaily.net

Selasa, Jun 10, 2008

Mana Suara Orang UMNO?


Sejak kenaikan harga petrol, pemimpin dari Pakatan Rakyat begitu lantang untuk menyuarakan protes. Pelbagai hujah dikeluarkan demi untuk menunjukkan bahawa keputusan untuk menaikkan harga petrol sememangnya tidak patut dan zalim. Itu adalah tugas utama mereka untuk memantau setiap gerak geri kerajaan agar nasib rakyat akan sentiasa terbela.

Apa yang menghairankan adalah, sehingga ke hari ini tidak kedengaran suara dari Putera, Puteri, Pemuda mahupun Wanita UMNO untuk menyatakan bantahan mereka. Apakah mereka semuanya terdiri dari golongan yang kaya-raya? Apakah mereka tidak kisah berapa mahal pun harga petrol, mereka mampu membayarnya? Apakah mereka bersetuju kerana mereka juga akan mendapat sedikit habuan dari kenaikan itu? Dimanakah sifat ingin menolong bangsa yang selalu diwar-war oleh mereka? Apakah mereka bukan Melayu sedangkan ramai yang tertekan sekarang ini adalah orang Melayu?

MCA Selangor mencadangkan kerajaan agar memansuhkan cukai jalan dan tol. Kenapa mereka boleh bersuara demi kebajikan rakyat sedangkan UMNO hanya duduk diam membisu. Ketika PRU12 dulu apabila ada orang Melayu mengundi calon Cina, kita kutuk mereka kerana tiada semangat kebangsaan. Sekarang ini siapa sebenarnya yang tiada semangat kebangsaan?

Sebaliknya yang selalu kita dengar dan baca di dada akhbar kisah tentang untuk berebut jawatan. Si anu nak bertanding presiden. Si anu nak merebut jawatan ketua pemuda dan macam-macam lagi tapi berkisar kepada perebutan jawatan. Berdegar-degar mereka bertelingkah pasal jawatan tapi pasal nasib bangsa terus senyap membisu macam tak apa yang berlaku. Apakah orang UMNO hanya gila pada jawatan?

Sedih bila melihat senario ini. Persoalannya, apakah UMNO masih relevan untuk orang Melayu?